SHAH ALAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan rakyat membuat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Walaupun tindakan sebaliknya iaitu membenarkan pengeluaran KWSP akan dianggap popular, namun katanya ia bukan jalan penyelesaian kepada rakyat.

"Bila ada desakan politik yang kuat untuk meneruskan pengeluaran saya mengambil keputusan yang tidak semestinya popular iaitu tidak membenarkan lagi pengeluaran kerana perjanjian yang dimeteraikan itu adalah untuk masa depan mereka.

"Saya akur ada beberapa permasalahan yang dihadapi individu tapi jalan keluarnya bukan untuk memaksa KWSP keluar daripada landasan dan matlamatnya untuk memenuhi keperluan satu-satu pihak.

"Saya percaya ini akan terus akan dipermainkan dan dijadikan sebagai satu isu politik termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, ia tidak harus menggusarkan kita," katanya ketika berucap merasmikan ibu pejabat baharu KWSP di Kwasa Damansara, di sini pada Isnin. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, cadangan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus belum dibawa ke meja perbincangan.

"Belum lagi, tak bincang lagi (cadangan 20 peratus potongan KWSP bagi majikan)," katanya.

Pada 1 Mei lalu, Anwar memaklumkan cadangan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini akan dibincang oleh kerajaan.

Perdana Menteri memaklumkan, cadangan berkenaan sudah dikemukakan tetapi belum dibawa ke mesyuarat Kabinet.